fb fb fb fb fb

Imbas dan kenali PM ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 24 November- Lima hari selepas selesai pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan teka teki siapa yang bakal mengemudi Malaysia untuk penggal seterusnya, petang ini terjawab.

Ini apabila Istana Negara, menerusi kenyataan media, memaklumkan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi perkenan untuk melantik Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10.

Menurut kenyataan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Dato' Seri Ahmad Fadli Shamsuddin, perkara itu diputuskan selepas memperhalusi titah, pandangan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu selaras dengan kuasa Baginda yang diperuntukkan di bawah Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berumur 75 tahun, merupakan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pengerusi Pakatan Harapan (PH).

Anak jati Bukit Mertajam Pulau Pinang itu mempunyai pengalaman luas dalam bidang politik. Beliau pernah berkhidmat sebagai Timbalan Perdana Menteri ketika zaman pentadbiran Tun Dr Mahathir Muhammad dari tahun 1993 sehingga 1998.

(Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim)

Anwar melangkah ke alam persekolahan pada tahun 1954 di Sekolah Melayu Sungai Bakap, Pulau Pinang dalam aliran Bahasa Melayu. Pada tahun 1960, beliau meneruskan pendidikan di Kolej Melayu Kuala Kangsar MCKK, dan aktif dalam Persatuan Bahasa Melayu serta menjadi wakil pembahas dan pemidato.

Pada tahun 1968, Presiden PKR itu melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya dalam bidang Pengajian Melayu (Sastera).

Anwar memulakan kerjayanya sebagai pengasas Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) pada tahun 1972. Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) dari tahun 1974 hingga 1982.

Kerjaya politik beliau bermula apabila menyertai Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) dan menyandang jawatan Ketua Pemuda sehingga tahun 1987.

Pengerusi Pakatan Harapan itu pernah dilantik sebagai Naib presiden UMNO pada 1987 dan seterusnya  dipilih sebagai Timbalan Presiden UMNO pada tahun 1990.

Anwar juga pernah berkhidmat sebagai Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan serta mengetuai Kementerian Pertanian Malaysia sebelum menjadi Menteri Pendidikan pada tahun 1986.

Pada tahun 1993, Beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri dan kini kini beliau menyandang jawatan Ketua Parti Keadilan Rakyat.

Beliau merupakan satu-satunya warga Malaysia yang pernah tersenarai dalam 100 orang yang dikatakan paling berpengaruh di dunia oleh majalah Time pada tahun 2008.

Perdana Menteri ke-10 itu berkahwin dengan Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail pada 26 Februari 1980 dan dikurniakan enam cahaya mata.

Untuk rekod, Dr Wan Azizah pernah menyandang jawatan Timbalan Perdana Menteri pada tahun 2018 bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan.

Media Baharu