fb fb fb fb fb

Kerajaan masih teliti keperluan lesenkan platfom Google, Meta, TikTok- Nie Ching

FOTO AFP

KUALA LUMPUR, 21 November- Kerajaan masih di peringkat kajian dan penelitian berhubung keperluan untuk melesenkan atau mendaftarkan penyedia platform besar seperti Google, Meta dan TikTok.

Menurut Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital (KKD), Teo Nie Ching, pihaknya telah melaksanakan usaha-usaha awal seperti mengadakan beberapa siri libat urus bersama Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia (SKMM).

Ujar Nie Ching, sesi berkenaan bertujuan untuk mendapatkan input dan maklum balas daripada pelbagai pemegang taruh dan pihak-pihak yang berkepentingan berhubung perkara berkenaan.

"Penelitian serta kajian merangkumi pelbagai perkara termasuklah implikasi dari sudut polisi terhadap perkhidmatan, aspek pelaburan perdagangan, kaedah pencukaian, serta aspek keselamatan pengguna di Malaysia.

"Satu jawatankuasa turut dibentuk bagi meneroka dan memperincikan perkara yang melibatkan perundangan dan mencari jalan terbaik bagi mendapatkan hasil yang positif kepada semua pihak di Malaysia termasuklah industri media tempatan", kata Nie Ching yang menjawab pertanyaan yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid mengenai kesan jangka panjang pelesenan platform berkenaan terhadap kemampanan ekosistem industri media negara.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD