MARAN, 21 November - Kerajaan Negeri Pahang mengambil tindakan proaktif bagi menangani kemungkinan bencana banjir dengan menyediakan pusat pemindahan tetap (PPT) di lokasi berisiko; bagi membantu penduduk terjejas banjir mendapatkan perlindungan sementara.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata kerajaan negeri telah membina lima buah PPT yang melibatkan daerah Maran, Kuantan, Pekan, Temerloh dan Lipis dengan kos kira-kira RM31 juta.
Ketika ini PPT di daerah Maran telah mula beroperasi manakala empat buah PPT lagi masih dalam proses pembinaan.
"Di Pahang ini kita ada lima daerah yang akan kita buat PPT ini yang pertama, akan diikuti Lipis, Temerloh, Kuantan dan Pekan dengan keseluruhan kos RM31 juta, jadi Insya-Allah dalam masa setahun dua tahun akan siap," kata Wan Rosdy pada program Perasmian Pusat Pemindahan Tetap (PPT) Pertama di Malaysia, bertempat di Kampung Luit, Maran, di sini.
PPT tersebut dilengkapi kemudahan seperti ruang memasak, lapan bilik air, stor dan mampu menampung hingga 24 keluarga dalam persekitaran yang kondusif.
Sementara itu Wan Rosdy berkata, semua bantuan dan bekalan telah di hantar ke 159 pengkalan hadapan di seluruh Pahang.
Manakala 856 pusat pemindahan sementara (PPS) melibatkan balai raya, sekolah, masjid dan surau kini telah bersedia untuk menerima penduduk terjejas banjir.