fb fb fb fb fb

Bidang kuasa berkaitan agama dan Syariah bawah kuasa Raja-Raja Melayu-Anwar

FOTO HIASAN/FOTO RTM

KUALA LUMPUR, 21 November- Bidang kuasa berkaitan agama atau syariah tertakluk di bawah kuasa Raja-Raja Melayu dan Negeri bukan kerajaan Pusat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar menegaskan pendirian itu bagi menjawab soalan yang dikemukakan wakil Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim yang ingin tahu pendirian kerajaan persekutuan terhadap petisyen yang difailkan seorang peguam dan anaknya  yang mencabar Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Bagaimanapun,  beliau  berpandangan setiap isu perundangan yang melibatkan sensitiviti rakyat bukan beragama Islam perlu dibawa ke meja perundingan menerusi penubuhan jawatankuasa khas yang diperkenan Majlis Raja-Raja Melayu. 

"Mahkamah Persekutuan hanya menjelaskan tentang bidang kuasa Persekutuan, bidang kuasa negeri dan jadual bersama.

"Jadi, biar mahkamah Persekutuan putuskan. Tapi apapun keputusan mahkamah Persekutuan, tanggungjawab kerajaan yang telah kita umumkan ialah menubuhkan jawatankuasa untuk meneliti aspek-aspek bagi meningkatkan bidang kuasa Syariah yang tentunya tidak mahu menyinggung atau menyentuh golongan bukan Islam. Jadi, ada kaedah-kaedah yang harus dibincangkan kerana ada negeri-negeri di Malaysia yang agak keras kurang bersetuju kalau kita melanggar prinsip yang disebutkan tadi", kata Anwar di Parlimen hari ini.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD