KUALA LUMPUR, 21 November - Malaysia memuktamadkan penyertaan dalam Jawatankuasa peringkat Menteri untuk merangka tindakan antarabangsa bagi menamatkan perang Israel ke atas Gaza.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pembentukan jawatankuasa berkenaan yang turut disertai 10 buah negara di bawah Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) merupakan antara perkara yang dipersetujui menerusi Sidang kemuncak Tergempar di Riyadh minggu lalu.
Tegas Perdana Menteri gencatan senjata serta-merta dan bantuan rawatan terhadap rakyat Palestin juga antara perkara yang turut dipersetujui di sidang berkenaan.
"Menyegerakan keputusan untuk menghentikan serangan terhadap Gaza yang belum berhasil sehingga kini. Terdapat cadangan daripada beberapa negara Eropah yang meminta negara seperti Mesir, Jordan mengambil pelarian Palestin. Itu tidak dipersetujui oleh semua negara Islam kerana ini akan memberi peluang kepada Israel untuk menceroboh dan menakluki Gaza.
"Apa yang dilakukan oleh Emiriah Arab Bersatu (UAE) adalah mengambil mereka yang cedera parah terutama bayi dan anak-anak kecil untuk rawatan di Abu Dhabi atau di Dubai", kata Anwar ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Sri Gading, Aminolhuda Hassan yang ingin tahu hasil Persidangan Kemuncak Tergempar, OIC di Arab Saudi mengenai jenayah dan pembasmian kaum yang dilakukan Israel terhadap rakyat Palestin di Parlimen hari ini.