fb fb fb fb fb

Kerajaan Malaysia akan terus pertahankan kedaulatan negara dan kedudukan negeri Sabah - PM

KUALA LUMPUR, 18 Mac - Kerajaan Malaysia memandang serius isu kedaulatan negara, termasuk kedaulatan dan keutuhan Negeri Sabah dalam Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan, kerajaan Malaysia tidak akan melayan sebarang tuntutan daripada mana-mana pihak terhadap Sabah.

Justeru, tuntutan oleh pihak yang mengaku waris kepada Sultan Sulu terhadap kerajaan Malaysia melalui satu prosiding timbang tara antarabangsa adalah tidak sah dan melanggari undang-undang.

Jelasnya menerusi kenyataan, pelantikan penimbang tara Dr. Gonzalo Stampa telah dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi Madrid pada 29 Jun 2021.

Ia sekali gus mengakibatkan semua keputusan dikeluarkan Dr. Gonzalo Stampa adalah tidak sah, termasuk Final Award yang dikeluarkan pada 28 Februari lalu.


(Kenyataan media Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob)

"Dr. Stampa tidak mengendahkan keputusan Mahkamah Tinggi Madrid dengan memindahkan tempat timbang tara ke Paris dan telah meneruskan prosiding timbang tara sehingga Final Award dikeluarkan. Bagi memelihara kedaulatan dan kepentingan Malaysia, kerajaan telah memfailkan permohonan untuk membatalkan Final Award tersebut pada 3 Mac 2022 di Mahkamah di Paris, Perancis.

"Ia bagi memastikan keputusan Final Award tersebut tidak boleh dikuatkuasakan oleh penuntut pada bila-bila masa dan di mana-mana negara. Tindakan itu juga dibuat bagi memastikan Malaysia tidak perlu membayar wang pampasan AS$14.9 bilion bersamaan RM62.59 bilion seperti dituntut," kata beliau dalam kenyataan tersebut, hari ini.

Kerajaan Malaysia tidak akan berganjak walau seinci pun dalam menjaga dan mempertahankan kedaulatan negara dan kedudukan negeri Sabah dalam Malaysia akan dipertahankan untuk selama-lamanya.

Sabah telah diiktiraf Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan masyarakat antarabangsa sebagai sebahagian daripada Persekutuan Malaysia sejak 16 September 1963.

Media Baharu