KUALA LUMPUR, 20 Disember - Kerajaan MADANI telah memperkukuh perlindungan sosial rakyat sepanjang 2025, dengan mempertingkat bantuan tunai ke tahap tertinggi dalam sejarah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan turut memperluas sokongan untuk keluarga, serta memastikan tindakan pantas dan bantuan segera digerakkan setiap kali bencana melanda.
"Semua ini menggambarkan tekad MADANI untuk memastikan setiap isi rumah dibela tanpa ada yang tercicir dan terpinggir," katanya menerusi catatan di Facebook.
Hantaran itu turut menyertakan infografik yang memaparkan bantuan yang disediakan oleh Kerajaan MADANI sepanjang tahun ini, termasuk peruntukan RM13 bilion bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Selain itu, kerajaan juga menyediakan SARA sebanyak RM100 secara sekali beri kepada setiap warganegara berusia 18 tahun ke atas menggunakan MyKad yang mula ditebus dari 31 Ogos lalu hingga 31 Disember ini.
Bagi bantuan banjir, kerajaan antaranya menyalurkan Bantuan Wang Ihsan (BWI) sebanyak RM1,000 kepada setiap keluarga terjejas, serta RM10 juta BWI kepada Sabah dan RM50 juta BWI kepada Kelantan dan Terengganu.