Kerajaan MADANI komited pelihara kebebasan berkarya industri perfileman

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat Pengerusi Eksekutif Skop Productions, Datuk Yusof Haslam di Putrajaya / Pejabat Perdana Menteri

KUALA LUMPUR, 15 Januari -Kebebasan berkarya akan terus dipelihara bagi memastikan industri perfileman tempatan dapat berkembang secara berani, berkualiti dan bermakna.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kebebasan berkarya akan terus dipelihara bagi memajukan industri perfileman tempatan secara berani dan bermakna.
  • Pertemuan membincangkan perkembangan, hala tuju serta cabaran industri kreatif termasuk isu cukai hiburan.
  • Isu cukai hiburan akan diteliti dan dibincangkan lanjut bersama kerajaan negeri untuk mencari penyelesaian.
  • Perdana Menteri menghargai karya yang mengangkat isu integriti dan sokongan penggiat seni terhadap kebebasan bersuara.

Komitmen itu dizahirkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa menerima kunjungan hormat Pengerusi Eksekutif Skop Productions, Datuk Yusof Haslam di Putrajaya.

Menurut Datuk Seri Anwar, pertemuan tersebut bagi membincangkan perkembangan dan hala tuju industri perfileman tempatan.

“Kami bertukar pandangan mengenai cabaran dan potensi industri kreatif termasuk isu cukai hiburan yang dibangkitkan, yang akan diteliti dan dibincangkan lanjut bersama kerajaan negeri.

Datuk Seri Anwar berkata demikian menerusi satu hantaran di laman Facebook beliau.

Dalam pertemuan itu, Perdana Menteri turut menzahirkan penghargaan terhadap karya filem Sheriff: Narko Integriti yang mengangkat isu rasuah dan integriti.

Selain, menghargai sokongan penggiat seni terhadap usaha kerajaan menjunjung keterbukaan dan kebebasan bersuara.