KUALA LUMPUR, 21 Jun - Peruntukan sejumlah RM899 juta diluluskan kerajaan bagi melaksanakan 61 projek fizikal dan bukan fizikal yang bertujuan untuk memodenkan sistem imigresen negara.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata pelaksanaan projek-projek merangkumi Internet pelbagai benda (IoT), Data Besar dan Kecerdasan Buatan (AI) itu dilihat sebagai usaha menambah baik sistem imigresen negara agar kekal relevan terutamanya dari segi penyampaian perkhidmatan kepada pengguna selain memastikan kedaulatan serta keselamatan negara kekal terpelihara.
"Bagi memenuhi keperluan keimigresenan semasa yang bertambah kompleks, kerajaan melalui KDN sentiasa komited menambah baik sistem keimigresenan negara sedia ada supaya menjadi lebih komprehensif, berteknologi tinggi, bersepadu dan mesra pelanggan dari semasa ke semasa," katanya pada Majlis Perasmian Penyerahan Kontrak Projek Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe), di sini.
Projek NIISe antara kerajaan dengan Syarikat IRIS Information Technology Systems Sendirian Berhad membabitkan kos lebih RM1 bilion yang dimuktamadkan Mei lalu dijangka siap sepenuhnya pada 2024.