fb fb fb fb fb

Kerajaan komited perkasa industri getah, perkukuh kerjasama global

Foto FB Menteri

KUALA LUMPUR 6 Oktober- Malaysia akan terus mempertingkat kerjasama dengan negara pengeluar utama getah menerusi rangkaian platform antarabangsa.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata langkah itu bagi memastikan industri getah negara dapat memenuhi keperluan kemampanan industri getah antarabangsa selaras matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) 2030.

"Malaysia akan terus meningkatkan kerjasama dengan negara pengeluar getah utama menerusi platform antarabangsa, memastikan kedua-dua kos pengeluaran dan kemampanan diambil kira dalam perdagangan getah.

Kerajaan komited menyediakan rangka kerja dan ekosistem yang diperlukan bagi meneroka pasaran baharu industri getah serta pengeluarannya. Saya yakin bahawa MRE akan terus mempromosikan perdagangan dan industri getah Malaysia ke peringkat global," kata Fadillah ketika berucap pada Majlis Makan Malam Malaysian Rubber Exchange (MRE) di ibu negara, malam tadi.

Jelasnya, Malaysia menerusi Lembaga Getah Malaysia (LGM) bergiat aktif menyertai platform antarabangsa termasuk International Triparte Rubber Council (ITRC), The Association of Natural Rubber Producing Country (ANRPC) dan ASEAN Rubber Business Council (ARBC) bagi pembangunan jangka panjang industri tersebut.

Inisiatif membangunkan Kemampanan Getah Asli Malaysia (MSNR) turut dilaksanakan menerusi kaedah kawal selia bawah Akta Lembaga Getah Malaysia (Perbadanan) 1996.


(Foto FB Menteri)

Media Baharu