fb fb fb fb fb

Kerajaan kaji Tribunal Antibuli fokus pemulihan, bukan hukuman

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil. Foto- RTM

KUALA LUMPUR, 12 September - Kerajaan sedang menimbang penubuhan Tribunal Antibuli sebagai pendekatan alternatif selain tindakan undang-undang jenayah.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, tribunal itu dijangka menekankan aspek keadilan restoratif dengan memberi penekanan kepada pemulihan, kaunseling dan keadilan yang sesuai, terutama bagi kes melibatkan kanak-kanak.

“Bagi sesetengah pihak, mereka mungkin tidak mahu membawa kes ke mahkamah jenayah. Maka tribunal ini berpotensi menjadi wadah penyelesaian yang lebih adil, inklusif dan memberi peluang pemulihan kepada semua pihak,” katanya kepada pemberita selepas menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia di Kota Media Angkasapuri, hari ini.

Terdahulu, kerajaan memulakan siri jerayawara atau bengkel Tribunal Antibuli yang dikendalikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said bersama barisan pemimpin lain.

Program libat urus yang berlangsung di Putrajaya semalam akan diteruskan pada 17 hingga 19 September ini sebelum diperluas ke seluruh negara.

Kerajaan turut melancarkan sebuah laman web rasmi sebagai saluran rujukan untuk orang ramai mengemukakan pandangan dan cadangan berkaitan isu buli.

Langkah ini dilihat sebagai usaha kerajaan memperkukuh perlindungan masyarakat, khususnya generasi muda, dalam menangani isu buli secara lebih holistik dan berkesan.

NUR SHARIDA SHAHABUDDIN