SUNGAI PETANI, 12 September - Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Kedah terus giat melaksanakan program latihan dan perkongsian maklumat bagi memperkasakan pematuhan industri terhadap Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974.
Ia termasuk mengadakan Seminar On Scheduled Waste Management And eSwis V2 Hands-On : Smart Compliance For A Cleaner Tomorrow.
Pengarah JAS Negeri Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, seminar selama dua hari bermula semalam di Kelab Cinta Sayang, Sungai Petani dengan kerjasama Kelab Alam Sekitar, berjaya mengumpulkan seramai 340 peserta daripada pelbagai latar belakang dalam bidang industri.
Turut serta ialah 14 pempamer khusus dalam pengurusan alam sekitar.
Katanya, penekanan diberikan kepada pengurusan buangan terjadual yang mengikut peruntukan undang-undang semasa bagi mengelakkan pencemaran alam sekitar yang boleh menjejaskan kesihatan awam.
Selain itu, turut diadakan sesi latihan secara langsung antara fasilitator yang terdiri daripada pegawai Jabatan Alam Sekitar Negeri Kedah bersama dengan para peserta bagi memberi pendedahan secara langsung tentang penggunaan sistem eSWIS Versi Kedua.
Beliau berkata, Pengurusan buangan terjadual bukan sekadar soal teknikal atau prosedur semata-mata, malah ia adalah isu keselamatan awam, kesihatan masyarakat, dan kelestarian alam sekitar.
"Jika pengurusan buangan ini dilakukan secara cuai, ia boleh membawa implikasi besar seperti pencemaran tanah, udara dan air, malah boleh menjejaskan kesihatan komuniti.
"Ia antara sebab mengapa Jabatan Alam Sekitar menekankan pematuhan kepada Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005", katanya.
Di samping itu, beliau turut menekankan bahawa isu alam sekitar bukan sekadar melibatkan pihak agensi kerajaan semata-mata, malah memerlukan kerjasama kolektif semua pihak.