JOHOR BAHRU, 24 Mei – Kerajaan bercadang untuk mengkaji semula pelaksanaan sistem e-Invois bagi memastikan inisiatif tersebut tidak membebankan syarikat-syarikat kecil, khususnya dalam kalangan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata langkah itu penting bagi memperbaiki kelemahan pelaksanaan yang dikenal pasti, tanpa menjejaskan matlamat asal e-Invois dalam membendung kebocoran hasil negara.
“Berkenaan e-Invois, kita akan kaji semula. Ia bertujuan untuk mengelakkan kebocoran dan kehilangan hasil, namun bagi syarikat yang kita kategorikan sebagai lebih kecil, pelaksanaannya sangat membebankan. Insya-Allah kita akan perbaiki,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan sempena Kongres Nasional Keadilan di Persada Johor, di sini hari ini.
E-Invois telah dilaksanakan secara berfasa bermula 1 Ogos 2023, melibatkan syarikat yang mempunyai jualan tahunan melebihi RM100 juta.
Fasa kedua pula bermula pada 1 Januari lalu, melibatkan syarikat dengan jualan antara RM25 juta hingga RM100 juta.
Fasa ketiga, yang dijadual bermula 1 Julai depan, akan menyaksikan pelaksanaan e-Invois secara menyeluruh melibatkan semua jenis perniagaan termasuk PMKS, sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan untuk meningkatkan kecekapan sistem percukaian negara.