fb fb fb fb fb

Kerajaan isytihar ‘perang ke atas gula’, tangani penyakit tidak berjangkit

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad

KUALA LUMPUR, 27 Oktober - Kerajaan memperkukuh usaha menangani penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti diabetes, hipertensi dan obesiti melalui promosi gaya hidup sihat serta kerjasama rentas kementerian.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi tumpuan kepada penyakit empat serangkai seperti diabetes, tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi dan obesiti.

"Penyakit tidak berjangkit berbeza dengan penyakit berjangkit kerana ia cabaran sepanjang hayat dan memerlukan perubahan tingkah laku serta literasi kesihatan masyarakat.

“Cabaran kini lebih besar. Kementerian Kesihatan Malaysia memberi tumpuan memastikan rakyat lebih sedar, celik dan berpengetahuan melalui Dasar Literasi Kesihatan Kebangsaan.

“Apabila tahap kesedaran meningkat, pendekatan seterusnya ialah menggunakan kaedah perubahan tingkah laku bagi menggalakkan gaya hidup sihat secara berkesan,” katanya.

Dr Dzulkefly berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Adnan Abu Hassan, mengenai strategi kerajaan memperkukuh pengurusan dan pencegahan penyakit tidak berjangkit.

Antara inisiatif utama KKM ialah kempen “Perang ke atas Gula” (War on Sugar) dan penubuhan Nutri Hub di pasar raya bagi meningkatkan kesedaran pemakanan sihat rakyat.

Selain itu, inisiatif Pinggan Sihat Malaysia: Suku Suku Separuh diteruskan bagi memperkukuh amalan pemakanan seimbang dan kesedaran nutrisi dalam kalangan masyarakat di seluruh negara.

“Usaha ini dilaksanakan melalui pendekatan ‘whole-of-government’ dan ‘whole-of-nation’ bagi memastikan kesejahteraan rakyat serta kesihatan awam terus terpelihara,” katanya.

GRACE AISYAH KEDAYAN