KUALA LUMPUR, 27 Oktober – Festival Makanan Warisan Negeri Selangor dijangka menarik kehadiran lebih 20,000 pengunjung pada edisi kali keempat yang akan menampilkan pelbagai keunikan dan kelainan tahun ini.
Exco Kebudayaan dan Warisan Selangor, Datuk Borhan Aman Shah, berkata festival tersebut akan berlangsung pada 1 November ini di Kompleks Sukan Kuala Selangor.
Antara tarikan utama edisi kali ini ialah penyediaan Lempeng Sagu Mata Ikan, makanan tradisional masyarakat Bugis yang semakin dilupakan.
“Kali ini kita memperkenalkan Lempeng Sagu Mata Ikan yang popular sekitar tahun 1950-an dan 1960-an, khususnya dalam kalangan masyarakat Bugis. Sebanyak 4,500 keping lempeng akan disediakan dan diberikan secara percuma kepada pengunjung,”
"Dua kategori akan turut disenaraikan dalam Malaysia Book of Records (MBOR) iaitu penyediaan Lempeng Sagu Mata Ikan terbanyak dan kuih bepa putih yang akan dibentuk menyerupai ikon rumah api menggunakan 55,000 ketuk kuih," katanya kepada pemberita selepas menjadi tetamu segmen “Kita Selangor" di Konti SELANGORfm, hari ini.
Selain itu, 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) akan membuka gerai masing-masing menawarkan pelbagai jenis lempeng seperti Lempeng Pisang, Lempeng Ubi dan Lempeng Sardin.
Pengunjung juga berpeluang menikmati aneka kuih tradisional di gerai Kuih Dulu-Dulu, serta menyertai aktiviti sukan rakyat dan cabutan bertuah.