Kerajaan galak rakyat beralih ke skim ToU, bantu jimat bil elektrik

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 10 April – Kerajaan menggalakkan rakyat beralih kepada skim Time of Use (ToU) sebagai langkah praktikal untuk menjimatkan bil elektrik serta memperkukuh kecekapan penggunaan tenaga negara dalam menghadapi ketidaktentuan harga tenaga global.

RINGKASAN BERITA AI
  • 128,868 pengguna telah beralih kepada skim ToU sehingga Februari, menunjukkan peningkatan kesedaran pengurusan tenaga.
  • Skim ToU menawarkan kadar tarif lebih rendah pada waktu luar puncak berbanding waktu puncak, membolehkan penjimatan.
  • Waktu puncak biasanya 2.00 petang hingga 10.00 malam hari bekerja; luar puncak meliputi malam, hujung minggu dan cuti umum.
  • Alihkan penggunaan berintensiti tenaga seperti penyaman udara, mesin basuh, pemanas air dan pengecas EV ke waktu luar puncak.

Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dalam kenyataan hari ini memaklumkan sebanyak 128,868 pengguna telah beralih kepada skim ToU sehingga Februari lepas, sekali gus mencerminkan peningkatan kesedaran rakyat terhadap kepentingan pengurusan tenaga yang lebih efisien.

“Skim ToU memberi peluang kepada pengguna menikmati kadar tarif elektrik yang lebih rendah pada waktu luar puncak berbanding waktu puncak, sekali gus membolehkan penjimatan melalui perubahan corak penggunaan harian,” menurut kenyataan itu.

Pendekatan penggunaan tenaga secara lebih bijak melalui skim berkenaan memberi peluang kepada pengguna menikmati kadar tarif elektrik lebih rendah pada waktu luar puncak berbanding waktu puncak, sekali gus membantu penjimatan melalui perubahan corak penggunaan harian.

Waktu puncak (peak hours) melibatkan tempoh permintaan elektrik tinggi, lazimnya pada waktu siang hingga malam (mulai pukul 2.00 petang hingga 10.00 malam pada hari bekerja), dengan kadar tarif yang lebih tinggi.

Manakala waktu luar puncak melibatkan tempoh permintaan rendah seperti waktu malam hingga pagi, hujung minggu dan cuti umum menawarkan kadar tarif lebih rendah.

Melalui skim ToU, pengguna boleh mengalihkan aktiviti berintensiti tenaga seperti penggunaan penyaman udara, mesin basuh, pemanas air serta pengecasan kenderaan elektrik ke waktu luar puncak bagi memaksimumkan penjimatan.

“Pendekatan ini bukan sahaja membantu mengurangkan bil elektrik, malah menyumbang kepada penggunaan tenaga yang lebih cekap dan mampan,” tambah kenyataan itu.

Kerajaan melihat skim ToU sebagai antara inisiatif penting dalam membantu rakyat mengawal dan mengurangkan perbelanjaan bil elektrik, menggalakkan penggunaan tenaga secara lebih cekap serta mengurangkan beban permintaan elektrik semasa waktu puncak.

“Orang ramai digalakkan mempertimbangkan migrasi ke Skim ToU bagi memanfaatkan struktur tarif lebih fleksibel serta menjadikan penggunaan tenaga sebagai amalan harian yang lebih bijak,” menurut kenyataan itu.

Usaha memperluas penggunaan skim berkenaan akan terus dipergiat selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan kesejahteraan rakyat, kemampanan sumber dan kecekapan tadbir urus demi pembangunan negara lebih mampan untuk generasi akan datang.