fb fb fb fb fb

Kerajaan dukung usaha gilap bakat ahli akademik - PM

(Ismail Sabri pada Majlis Anugerah Akademik Negara)

SEPANG, 25 Mac - Kerajaan sentiasa mendukung usaha ke arah menggilap bakat ahli akademik tempatan melalui pelbagai aktiviti.

Ini termasuk pengajaran dan pembelajaran, penyeliaan, penyelidikan, penulisan ilmiah dan penulisan media massa.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob penerima Anugerah Akademik Negara (AAN) yang dinobat harus diangkat menjadi ikon dan contoh ikutan kepada ahli akademik lain terutama pensyarah muda.

"Seorang pensyarah atau pengajar pendidikan tinggi bukan sekadar mendidik tetapi perlu menjadi seorang ahli sarjana awam yang berbakti kepada semua lapisan Keluarga Malaysia. Jadilah ejen-ejen perubahan demi keharmonian dan kesejahteraan Keluarga Malaysia seluruhnya.

"Memetik kata-kata Saudara Muhammad Yunus, seorang lagi pemenang Anugerah Nobel yang terkenal di persada global, “Universiti tidak seharusnya menjadi pulau di mana ahli akademik mencapai tahap pengetahuan yang lebih tinggi dan lebih tinggi tanpa berkongsi pengetahuan ini dengan jirannya," katanya.

Beliau berucap pada Majlis Anugerah Akademik Negara, di sini malam tadi.

Ismail Sabri juga berkata, Kementerian Pengajian Tinggi akan terus berusaha membangunkan bakat-bakat akademik dan melaksanakan inisiatif pembangunan kesarjanaan yang holistik.

Bakat dan kesarjanaan ini perlu mencakupi kepelbagaian bidang ilmu sebagai persediaan untuk menghadapi masa hadapan yang semakin mencabar.

"Ahli akademik juga perlu melengkapkan diri seiring dengan perkembangan Revolusi Perindustrian 4.0 yang memperkenalkan kaedah baharu dalam teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), pendigitalan, internet mudah alih berkelajuan tinggi, analitis data raya (BDA) dan internet benda (IoT) yang akan memberi kesan kepada pendidikan dan latihan," katanya.

Tambah beliau, peranan ahli akademik penting bagi menyiapkan Keluarga Malaysia khususnya generasi muda untuk mencapai sasaran negara berpendapatan tinggi pada 2025 seperti yang ditetapkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).

Justeru, kerajaan akan memastikan usaha bersepadu dilaksana bagi menggalakkan peralihan kepada sistem pendidikan yang lebih fleksibel dan memenuhi kehendak industri.

"Langkah ini termasuk mempelbagaikan laluan pendidikan dan latihan, menawarkan program “trans-disciplinary” dan menyusun semula program sedia ada untuk menerapkan pendekatan yang lebih inovatif.

"Ia akan membolehkan Institut Pengajian Tinggi (IPT) menawarkan lebih banyak kurikulum yang fleksibel dan dinamik serta boleh dikemas kini dan disesuaikan mengikut permintaan industri.

"Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) akan diberi penekanan penting dan dijadikan sebagai pilihan utama, bukan lagi pilihan kedua untuk pelajar yang tidak berjaya dalam bidang akademik," kata beliau.

Dalam pada itu, Perdana Menteri memberitahu pengajaran dan pembelajaran (PdP) berorientasikan masa hadapan perlu menjadi teras pendidikan tinggi nasional.

Katanya, perubahan drastik terus berlaku dalam proses PdP pada semua peringkat pendidikan formal ketika ini malah konsep ‘Inisiatif Pembelajaran Masa Hadapan’ tidak lagi menjadi sesuatu yang aneh di Institusi Pendidikan Tinggi negara ini.

"Semakin ramai ahli sarjana Keluarga Malaysia, tidak kira usia dan kepakaran masing-masing sedang meneroka dan mengaplikasikan teknologi pengajaran dan pembelajaran terkehadapan, agar mahasiswa tidak ketinggalan dengan arus pemodenan drastik dalam pendidikan tinggi yang melanda dunia.

"Dengan cabaran yang dibawa oleh proses revolusi industri, masalah berkaitan pandemik global dan bermacam lagi tembok halangan, institusi pendidikan tinggi tempatan hari ini menjadi medan penentu jatuh atau bangunnya perantis ilmuwan masa hadapan negara," tambah beliau.

Media Baharu