fb fb fb fb fb

RUU Perubahan Iklim perlu dibentang segera sebelum laksana Cukai Karbon

Presiden Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia (MATA), Datuk Abd Aziz Abu Bakar

KUALA LUMPUR, 14 Oktober - Kerajaan disaran membentangkan Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara di Parlimen sebagai langkah asas sebelum memperkenalkan pelaksanaan Cukai Karbon bermula tahun depan.

Presiden Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia (MATA), Datuk Abd Aziz Abu Bakar berkata dengan akta yang lebih khusus, ia membolehkan agensi tertentu diberi kuasa menguruskan kutipan cukai ini dan mengawal selianya.

Menurutnya, selain penetapan bidang kuasa, sistem perdagangan karbon dan kredit karbon sedia ada perlu diselaraskan agar dapat diintegrasikan dengan mekanisme Cukai Karbon secara lebih efisien serta tidak membebankan industri yang menggunakan tenaga seperti keluli dan tenaga.

"Kita perlu jelas dulu agensi yang akan mengenakan Cukai Karbon ini, sama ada kepada industri keluli atau tenaga. Isu utamanya, sekarang ialah siapa yang ada kuasa untuk laksana, bawah akta apa dan bagaimana ukuran pelepasan karbon itu dikira untuk tujuan percukaian” katanya selepas Analisis Belanjawan 2026 di TV1.

Pada pembentangan Belanjawan 2026, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Cukai Karbon akan mula diperkenalkan tahun depan dengan tumpuan awal kepada sektor besi, keluli dan tenaga.

Cukai tersebut bagi memastikan kecekapan pelaksanaan Cukai Karbon, mekanismenya akan turut diselaras dengan Dasar Pasaran Karbon Kebangsaan dan Rang Undang-Undang (RUU) Perubahan Iklim Negara yang bakal digubal.

ROSLINA BINTI DIN