KUALA LUMPUR, 9 Februari- Kabinet hari ini bersetuju memberi subsidi harga ayam dan telur ayam kepada penternak sepanjang tempoh pelaksanaan Skim Kawalan Harga Keluarga Malaysia (SKHKM).
Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, berkata penternak akan menerima subsidi RM0.60 sekilogram bagi ayam hidup dan ayam bulat, dan RM0.05 bagi sebiji telur ayam untuk semua kategori.
"Jemaah Menteri hari ini bersetuju memberi subsidi kepada penternak ayam sebanyak RM0.60 sekilogram dengan mengambil kira harga ayam hidup di peringkat ladang sebanyak RM5.90 sekilogram, dan harga runcit ayam bulat standard sebanyak RM8.90 sekilogram.
"Bagi telur, Jemaah Menteri juga bersetuju memberi subsidi sebanyak RM0.05 setiap biji untuk semua jenis kategori," katanya dalam satu kenyataan.
Pada masa ini, pengguna dan peniaga berdepan isu harga ayam yang mahal, serta kekurangan bekalan telur ayam yang serius di beberapa negeri.
Katanya, tujuan pemberian subsidi adalah untuk meringankan beban penternak susulan peningkatan kos terutamanya kos makanan yang meliputi 70 peratus daripada kos pengeluaran.
Katanya, tempoh pemberian subsidi adalah mulai 5 Februari 2022 hingga 4 Jun 2022 iaitu sepanjang tempoh pelaksanaan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM).
"Anggaran keseluruhan implikasi kewangan kepada Kerajaan bagi melaksanakan pemberian subsidi ayam dan telur di seluruh negara untuk tempoh empat bulan ini adalah sebanyak RM528.52 juta.
"MAFI juga akan mengadakan sesi libat urus berterusan dengan pihak industriuntuk memastikan industri ayam dan telur terus kekal mampan dan beroperasi dalam skala penuh bagi memastikan pengeluaran ayam dan telur di ladang mencukupi bagi memenuhikeperluan tempatan," katanya.
Beliau berkata, MAFI berharap langkah intervensi Kerajaan melalui pemberian subsidi kepada penternakdapat menstabilkan kembali bekalan sekaligus memastikan rakyat dapat membeli ayam danbtelur dengan harga yang berpatutan.
Rabu lalu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dilaporkan menetapkan harga siling runcit ayam standard RM8.90 sekilogram di Semenanjung bermula Sabtu lalu.
Kelmarian, Timbalan Pengerusi Gabungan Persatuan Peladang Ternakan Malaysia (FLFAM), Lee Yoon Yeau, dilaporkan berkata masalah kekurangan bekalan telur ayam di pasaran berlarutan sehingga Ramadan yang didakwa berpunca daripada kenaikan kos pengeluaran penternak.
Beliau mendakwa penternak dan pengeluar mungkin memilih mengurangkan pengeluaran bagi menampung kos pengeluaran, sekali gus menyebabkan bekalan akan terganggu.