fb fb fb fb fb

MAIPs peruntuk zakat RM7.25 juta untuk Bantuan Persekolahan 2022

KANGAR, 10 Februari - Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menyediakan peruntukan zakat sebanyak RM7.25 juta untuk bantuan persekolahan tahun ini.

Peruntukan tersebut meningkat berbanding RM4.33 juta tahun lalu.

Agihan tersebut akan memberikan manfaat kepada 12,095 orang pelajar merangkumi 6,713 pelajar sekolah rendah dan 5,382 pelajar sekolah menengah di seluruh negeri Perlis.

Jumlah ini tidak termasuk penerima dari kalangan pelajar Sekolah Agama Rakyat yang akan turut menerima bantuan secara berasingan.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah setiap penerima bantuan agar sentiasa meningkatkan pengetahuan dan bermotivasi dalam pembelajaran.

"Usaha melahirkan modal insan cemerlang dan komited, merupakan aset yang sangat penting terutamanya golongan remaja kerana mereka inilah tonggak kepimpinan negara suatu masa nanti.

"Dalam konteks ini, modal insan yang cemerlang memerlukan ciri-ciri murni iaitu berintelek, berakhlak mulia, kreatif dan kritis, sihat serta memiliki ciri-ciri kepimpinan yang tinggi", titah Baginda ketika merasmikan Majlis Penyampaian Bantuan Persekolahan MAIPs, Tahun 2022 di Dewan Serbaguna, Sektor Sumber Teknologi Pendidikan (SSTP) Jabatan Pendidikan Negeri di Padang Behor, Kangar.

Setiap pelajar akan menerima agihan sumbangan sebanyak RM600 yang akan disalurkan melalui kerjasama pihak pengurusan sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru di 111 buah sekolah di seluruh Perlis.

Berangkat sama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, diiringi Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Naharudeen Othman dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.

Media Baharu