LUMUT, 15 Jun - Kerajaan buat masa ini belum bersedia untuk melaksanakan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ini kerana pelaksanaan semula GST dibimbangi akan memberi kesan langsung kepada semua lapisan rakyat tanpa mengira tahap pendapatan.
Katanya, kerajaan memilih untuk mengekalkan sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sedia ada, dan menumpukan pelaksanaan cukai terhadap barangan import.
"Tetapi saya ada pertanyaan, jika kadar 6% dikenakan ke atas semua, mengapa golongan miskin turut perlu membayar? Mengapa orang yang menganggur pun dikenakan cukai apabila membeli makanan? Oleh itu, saya mohon agar perkara ini difahami dan ditangguhkan dahulu." kata Perdana Menteri dalam Majlis Penutupan Program MADANI Rakyat 2025 Peringkat Negeri Perak di Lumut Perak.