LUMUT, 15 Jun- Program MADANI Rakyat (PMR) bukti kerajaan komited dalam menyelesaikan isu mendasar di peringkat akar umbi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata usaha itu sekali gus menjadi wacana penghubung antara pihak pelaksana, menteri dan pegawai tinggi untuk bersama turun padang menghulur bantuan kepada rakyat.
Tambahnya, program seumpama itu wajar dipergiat agar setiap kementerian dan agensi memahami realiti sebenar di lapangan serta menilai pelaksanaan dasar kerajaan di peringkat rakyat.
"Kita mempunyai program seperti Sejati MADANI dan Kampung Angkat MADANI, yang mana pegawai tinggi termasuk menteri sendiri menyedari wujudnya jurang antara dasar yang digariskan di peringkat pusat dengan pelaksanaannya di peringkat akar umbi.
Justeru, segala isu cuba ditangani dengan sebaik mungkin kerana apabila kita turun sendiri ke lapangan, kita dapat melihat dan mendengar sendiri realiti sebenar, yang sangat berbeza jika dibandingkan dengan perspektif dari peringkat pusat," kata Datuk Seri Anwar, hari ini.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Penutupan Program MADANI Rakyat 2025 peringkat negeri Perak.
Bertemakan Pendidikan Tinggi Pemacu Negara MADANI, program berlangsung selama tiga hari di Lumut Waterfront, Lumut dan menghimpunkan lebih 200 perkhidmatan kerajaan.
Program berskala besar itu dianjurkan bersama Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), Pejabat Perdana Menteri selaku sekretariat induk, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sebagai kementerian peneraju dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak selaku tuan rumah.