(Foto BERNAMA)
JOHOR BAHRU, 25 September- Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bercadang mengadakan pertemuan bersama kerajaan India bagi membincangkan usul pengeksportan beras putih ke Malaysia sebelum penghujung tahun ini.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata perancangan itu salah satu usaha kerajaan memastikan bekalan beras terutama beras tempatan mencukupi.
"Kita baharu di peringkat kementerian, kementerian akan berbincang dengan India mengenai hal itu. Sekiranya India menyekat beras putih secara mengejut, ia membawa kesan kenaikan harga beras di Malaysia ini. Beras basmati boleh import banyak tetapi beras ini mahal," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penghargaan Petugas Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Negeri Simpang Jeram di sini.
Bagaimanapun menurutnya, situasi gangguan bekalan beras tempatan di negara ini masih belum kritikal berbanding yang dihadapi beberapa negara lain.
India merupakan salah sebuah negara pengeluar beras terbesar dunia ketika ini.
Namun tindakan India menyekat eksport beras putih selain basmati bermula Julai lalu menyebabkan peningkatan harga beras import di pasaran dan mendorong pengguna membeli beras tempatan.
Salah satu langkah dijalankan KPKM bagi mengatasi isu bekalan adalah dengan mengarahkan edaran beras putih tempatan ke pusat jualan Lembaga Pemasaran pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) selain pasar raya terpilih, bermula awal bulan ini.
(Foto BERNAMA)