(Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu bercakap pada sidang media selepasÂ
menyampaikan amanat menteri MAFS dengan tema Kemampanan Sektor Agromakanan Negara
Teras mengemudi Cabaran Krisis Clobal di Putrajaya)
PUTRAJAYA, 16 Januari - Kerajaan sedang melakukan perbincangan bagi menyusun semula kaedah pelaksanaan dan pemberian subsidi telur dalam usaha meningkatkan jumlah bekalan telur ayam tempatan di pasaran.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS), Mohamad Sabu berkata, ia dilaksana melibatkan perbincangan beberapa kementerian termasuklah Kementerian Perdagangan Dalam negeri dan Kos Sara Hidup, kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan.
Selain itu, pihaknya turut meneliti dan mengkaji cadangan untuk mengapungkan harga telur dan memberikan subsidi hanya kepada golongan B40.
(Foto fail)
"Kita juga sedang berbincang termasuk dengan penternak-penternak telur macam mana nak susun semula hal subsidi sama ada diteruskan atau diubah cara supaya kita dapat membanyakkan telur dalam pasaran, kalau berlaku kekurangan macam di Terengganu hari itu kita arahkan FAMA untuk hantar dengan segera jadi kekurangan ketara kurang berlaku, cuma kita harap ia akan lebih naik dalam masa sebulan dua yang akan datang," kata beliau selepas menyampaikan amanat menteri MAFS dengan tema Kemampanan Sektor Agromakanan Negara Teras mengemudi Cabaran Krisis Clobal di Putrajaya.
Sementara itu mengulas mengenai langkah kerajaan mengimport telur ayam dari India, Mohamad berkata ia hanya bersifat sementara untuk menampung keperluan semasa pasaran.
Ianya boleh dihentikan sekiranya situasi bekalan telur ayam tempatan di pasaran sudah stabil.