fb fb fb fb fb

Kerabu Sarer kini diternak di Kelantan dengan inovasi baharu

KOTA BHARU, 26 Mac- Sebut sahaja kerabu ‘Sarer’ atau kerabu rumpai laut pastinya terbayang aromanya yang digaul dengan kelapa goreng dan kuah bersantan pastinya menambah selera.

Kerabu Sarer merupakan makanan tradisional Kelantan khususnya pada bulan Ramadhan.

Namun pada tahun 1996, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengeluarkan kenyataan media mengenai pengharaman import sarer dan larangan penjualan serta memakan sarer dalam kalangan masyarakat Kelantan kerana ia
dicemari logam berat plumbum.

Namun berita baik bagi masyarakat Kelantan buat pertama kali kerabu sarer bakal diternak di Negeri Cik Siti Wan Kembang sendiri dengan inovasi terkini dan lebih selamat dan mempunyai khasiat tersendiri.

Seorang penyelidik dari Universiti Malaya (UM), Dr Adibi Rahiman Md Nor yang juga merupakan anak jati Pasir Puteh giat mempopularkan rumpai laut kering atau sarer keluaran tempatan yang dijamin lebih selamat dan bebas dari pencemaran logam berat.

Katanya,projek rumpai laut yang diusahakan di Parit Bulat, Muar, Johor itu mengurangkan kebergantungan bahan mentah tersebut yang dibawa masuk secara tidak sah dari negara Jiran ke negara ini.

Dengan kerjasama syarikat Ain Aquaculture, pihaknya bersama syarikat tersebut bakal membuka kolam akuakultur baharu di Kampung Pulau Gajah, Pantai Sabak, Kota Bharu.

Jelasnya, pihaknya akan menggunakan kaedah intergrasi antara rumpai laut, ikan dan tiram sebagai Kombinasi spesis ini penting bertujuan memastikan keseimbangan ekosistem dan kandungan nutrien dalam kolam tersebut.

Menurutnya, setiap spesis itu memberi manfaat antara satu sama lain sebagai contoh ternakan akan menghasilkan banyak nutrien melalui najis dan makanan yang tidak habis dimakan.

Katanya, rumpai laut akan bertindak sebagai penapis biologi yang menyerap lebihan nutrien dalam air manakala tiram memainkan peranan sama bagi menapis partikel yang besar untuk memastikan persekitaran dalam kolam berada dalam keadaan selamat dan sihat.

Projek berkenaan dijangka akan dimulakan hujung tahun ini dan akan memulakan projek dengan menghasilkan benih terlebih dahulu.

"Manfaat rumpai laut ni bukan sahaja menyediakan makanan yang mempunyai nutrisi tinggi terutama sekali dari segi diatifiber dan jugak mineral dan bahan aktif tetapi aplikasi dalam pelbagai industri seperti penghasilan biofiu dan jugak boleh digunakan sebagai baja dan jugak makanan ternakan haiwan ataupun ruminan,"kata Dr Adibi.

Beliau ditemui media di Perkarangan Stadium Sultan Muhammad ke 4 di Kota Bharu.

Menurutnya, sarer yang dibangunkan itu hasil beberapa penyelidikan bagi memastikan ia selamat untuk dimakan.

Beliau berkata, produk sarer yang dikeluarkan itu menjalani proses mencuci dan mengering dengan baik supaya khasiat makanan tersebut terus terpelihara selain selamat.


( Penyelidik UM, Dr Adibi Rahiman Md Nor menunjukkan produk sarer )

 

Media Baharu