fb fb fb fb fb

KPLB sedia bantu pekebun kecil daun ketum andai eksport untuk tujuan perubatan dibenarkan

KUALA NERANG, 26 Mac- Kementerian Pembangunan Luar Bandar, KPLB menerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) sedia membantu para pekebun kecil sekiranya daun ketum dibenarkan dieksport untuk tujuan perubatan.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid bagaimanapun berkata, ia bergantung kepada keputusan yang akan dibuat oleh kerajaan berhubung perkara itu.

Menurut Datuk Seri Mahdzir, ketika ini kementerian dan agensi berkaitan sedang melakukan perbincangan lanjut berkaitan daun ketum sama ada dibenarkan untuk tujuan perubatan atau sebaliknya.

Beliau berkata, sekiranya ketum dibenarkan untuk tujuan perubatan, ia boleh menjana sumber pendapatan tambahan kepada pekebun kecil yang kini berjumlah 552,000 orang yang mengusahakan tanaman getah seluas 1.1 juta hektar.

"Kalau dah dibenarkan, dah ada pendapatan kenapa tidak, kalau dah jual 1kg berapa puluh ringgit dan ianya dari segi undang-undang sah, saya fikir tak menjadi kesalahan.

"Kerajaan belum memutuskan tapi saya ingat suatu hari kerajaan akan membuat ketetapan, kajian telah dibuat di seluruh dunia, di kebanyakan negara sudah ada kajian tentang bagaimana ketum boleh digunakan dalam bidang perubatan. Tapi saya ingat biarlah yang itu diuruskan oleh KKM. Cumanya saya fikir bahawa sampai masanya nanti kita tengok bagaimana keputusan kerajaan yang positif kepada ketum," kata Mahdzir.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Padang Terap bercakap kepada pemberita selepas Majlis RISDA Prihatin Pekebun Kecil Makmur tahun 2022 di Kuala Nerang, Padang Terap, Kedah.

Pada majlis itu, seramai 330 pelajar anak pekebun kecil RISDA yang kurang berkemampuan menerima kelengkapan sekolah melibatkan peruntukkan berjumlah RM66,000.

Sebelum ini, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, mencadangkan Kerajaan Persekutuan memberi kebenaran kepada Kedah bagi mengeksport ketum secara sah ke Thailand.

Bagaimanapun, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, menegaskan kementeriannya tidak akan membenarkan daun ketum dari negara ini dieksport ke Thailand.

Beliau dilapor berkata, perkara itu bertentangan dengan Akta Racun 1952 yang dikuatkuasakan di negara ini, yang antara lain melarang sebarang aktiviti mengimport, mengeksport, mengilang, membekal, menjual atau memiliki serta menggunakan ketum secara haram.

Pada Julai 2016, Risda juga pernah merancang mendapatkan kebenaran kerajaan menanam pokok ketum bagi meningkatkan hasil pendapatan pekebun kecil di negara ini.

Bagaimanapun, kerajaan ketika itu menolak cadangan Risda selepas mendapati mudaratnya lebih besar berbanding manfaat.


(Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid menyampaikan sumbangan kelengkapan sekolah kepada anak-anak pekebun kecil RISDA)

( Seramai 330 pelajar anak pekebun kecil RISDA yang kurang berkemampuan menerima kelengkapan sekolah melibatkan peruntukkan berjumlah RM66,000)

Media Baharu