KUALA LUMPUR 13 November - Keputusan kerajaan untuk tidak memfailkan rayuan terhadap keputusan pemberian 40 peratus hasil kepada negeri Sabah disifatkan sebagai langkah yang wajar dan menghormati semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Penganalisis Politik yang juga Pensyarah Pusat Pengajian Sains Masyarakat, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Datuk Dr Sivamurugan Pandian berkata, tindakan itu mencerminkan pendekatan politik dan pentadbiran yang lebih menyeluruh serta tidak bersifat konfrontasi undang-undang.
Beliau berkata tindakan tersebut perlu disusuli dengan pelan pelaksanaan yang jelas, agar tidak dilihat sebagai simbolik semata-mata.
Jelasnya, rundingan yang dicadangkan Putrajaya penting bagi memperbaiki kelemahan teknikal dalam keputusan mahkamah dan memastikan kadar peratus hasil ditentukan berdasarkan formula yang adil dan saksama.
"Keputusan kerajaan untuk tidak memfailkan rayuan terhadap apa yang telah diputuskan untuk memberikan 40 peratus kepada negeri Sabah merupakan suatu yang wajar kerana ia menghormati semangat Perjanjian Malaysia 1963 dan aspirasi rakyat Sabah itu sendiri.
"Sudah pasti menunjukkan pendekatan politik dan pentadbiran yang lebih menyeluruh bukan konfrontasi undang-undang namun tindakan ini mestilah disusuli dengan pelan pelaksanaan", katanya.
"Rundingan yang telah dicadangkan oleh Putrajaya penting untuk memperbaiki kelemahan teknikal sebagaimana dalam alasan penghakiman dan sambil memastikan bahawa semakan kadar peratus ini dibuat berdasarkan kepada formula yang adil dan saksama
"Sudah pasti jika rundingan jalankan secara telus, ia boleh menyimbangi apa saja penambahbaikan yang boleh kita lakukan untuk mencari satu jalan tengah antara prinsip undang-undang dan juga realiti pentadbiran fizikal negara kita", katanya ketika dihubungi Berita RTM.
Beliau berkata langkah untuk tidak merayu itu tidak menjejaskan prinsip kedaulatan undang-undang, sebaliknya memperlihatkan kematangan hubungan antara kerajaan Persekutuan dan negeri dalam menyelesaikan isu hak negeri melalui rundingan dan kepercayaan.
Pada 17 Oktober lalu, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan bahawa kerajaan Persekutuan bertindak secara tidak sah dan melampaui kuasa perlembagaan apabila gagal menunaikan hak Sabah terhadap 40 peratus hasil Persekutuan bagi tahun 1974 hingga 2021.
Pada Isnin lepas, Jabatan Peguam Negara memaklumkan Mesyuarat Khas Jemaah Menteri telah memutuskan untuk tidak membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu itu.