fb fb fb fb fb

Keputusan Mahkamah Rayuan Belanda redakan kebimbangan rakyat

(Foto fail)

KUALA LUMPUR, 28 Jun- Keputusan Mahkamah Rayuan Belanda menolak tuntutan kumpulan yang mengaku waris Kesultanan Sulu untuk menguatkuasakan award akhir berjumlah US$14.9 bilion atau RM62.59 bilion daripada Malaysia, meredakan kebimbangan rakyat tentang implikasi kewangan kepada negara.

Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Undang-undang Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Ummi Hani Masood, undang-undang timbang tara antarabangsa memperuntukkan bahawa persetujuan atau perjanjian adalah asas kepada timbang tara.

Jelasnya Konvensyen New York memerlukan perjanjian atau klausa timbang tara bertulis dalam perjanjian, agar award timbang tara boleh dikuatkuasakan.

Sekiranya perjanjian timbang tara tidak wujud walaupun wujudnya award timbang tara, mahkamah tidak akan menguatkuasakan award tersebut.

Atas dasar itu Malaysia masih mengekalkan kekebalan kedaulatannya.

"Dalam kes ini teks perjanjian antara Sultan (Sulu) dengan Syarikat Borneo Utara British mengatakan bahawa sebarang pertikaian akan dibawa untuk pertimbangan atau penghakiman Konsul General Duli Yang Maha Mulia di Brunei.

"Oleh itu waris Sultan Sulu perlu berhujah bahawa rujukan kepada pertimbangan atau penghakiman Konsul Duli Yang Maha Mulia di Brunei sesuai dengan takrifan perjanjian timbang tara. Menurut Mahkamah Tinggi Sabah, klausa ini tidak merujuk kepada timbang tara," kata Ummi Hani kepada RTM ketika ditemu bual menerusi Zoom di sini.

(Dr. Ummi Hani berkata keputusan Mahkamah Rayuan Belanda redakan kebimbangan
rakyat)

Jelasnya lagi hakim Mahkamah Belanda juga berpihak kepada Malaysia kerana teks perjanjian 1878 antara Sultan dengan Syarikat Borneo Utara British tidak mempunyai klausa yang mengikat pihak-pihak untuk timbang tara.

Oleh itu mahkamah memutuskan award berkenaan tidak boleh dikuatkuasakan di Belanda.

Media Baharu