KUALA LUMPUR, 12 Oktober - Generasi muda perlu mempersiapkan diri dengan memahami tanggungjawab dan etika yang perlu digalas berlandaskan integriti dan semangat perpaduan.
Berucap semasa merasmikan International Young Future Leaders Summit 2025 (iFUTURE), Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, kepimpinan masa depan bukan soal keistimewaan, sebaliknya satu amanah yang perlu dilaksana.
"Kepimpinan adalah satu amanah dan tanggungjawab suci yang menuntut kebijaksanaan dan keperibadian, dunia hari ini tidak memerlukan lebih ramai pemidato yang petah berbicara, tetapi lebih ramai pendengar yang benar-benar peka serta bukan mereka yang menuntut ketaatan, tetapi mereka yang menyalakan keyakinan", katanya di sini, hari ini.
Tambah beliau, seorang pemimpin bukan sahaja perlu menguasai ilmu, tetapi juga memupuk ketulusan hati, kesetiaan dan kejujuran.
Bagaimanapun katanya, corak kepimpinan menuntut perubahan mengikut peredaran zaman.
"Setiap zaman menuntut corak kepimpinan yang baharu dan hari ini, ilmu bergerak lebih pantas berbanding sebelumnya namun, ilmu tanpa nilai ibarat kapal tanpa haluan, teknologi mungkin membawa kita jauh, tetapi tanpa kemanusiaan, ia tidak akan membawa kita ke mana-mana," tambahnya.
iFUTURE 2025 berlangsung selama 3 hari bermula 11 hingga 13 Oktober ini di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC), di ibu negara.
Menurut beliau, sidang kemuncak itu merupakan platform penting untuk melahirkan pemimpin masa depan yang berani, berprinsip dan cakna terhadap isu-isu global, termasuk penderitaan rakyat Palestin.