DUNGUN, 12 Oktober – Seorang anggota bomba maut selepas motosikal ditunggangnya melanggar seekor kerbau dalam satu kemalangan di Dungun, petang semalam.
Kemalangan berlaku kira-kira pukul 7.40 petang di kilometer 85, Jalan Jerangau-Jabor berhampiran Ladang Gajah Mati, Dungun.
Dalam kejadian terbabit, mangsa Pegawai Bomba Kanan Dua, Mohamad Kamil Mat Jusoh, 46 tahun meninggal dunia di lokasi nahas selepas mengalami kecederaan parah pada bahagian badan.
Mangsa yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Al Mukhtafi Bilah Shah (AMBS) dipercayai sedang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Bandar AMBS selepas menghadiri kursus di Kuala Terengganu.
Sejurus tiba di lokasi kejadian, motosikal yang ditunggang mangsa dikatakan cuba mengelak haiwan berkenaan yang sedang melintas jalan namun terlanggar di belakang haiwan tersebut.
Mangsa kemudian terjatuh sebelum terseret sejauh lebih sepuluh meter ke bahu kanan jalan dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Angkatan Pertahanan Awam.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Maizura Abdul Kadir ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan insiden tersebut
Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Dungun untuk proses bedah siasat dan kes disiasat di bawah seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.