KUALA LUMPUR, 12 Oktober 2025 - Golongan muda diseru membina kepimpinan masa hadapan berlandaskan empat tonggak utama.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, empat tonggak tersebut adalah menggabungkan ilmu, pemikiran kritikal, empati dan integriti.
“Pertama, melalui ilmu pengetahuan dan literasi digital, anda mesti menguasai teknologi bukan untuk mengawal, tetapi untuk berkhidmat dengan pemikiran kritikal dan inovasi, ingatlah dunia kini tidak lagi menghargai mereka yang hanya mengulangi, tetapi mereka yang berani membayangkan semula, manakala dalam komunikasi dan empati terletaknya jambatan yang menghubungkan kemanusiaan merentasi bangsa, bahasa dan kepercayaan.
"Akhir sekali, kepimpinan mesti berteraskan integriti dan tanggungjawab, kerana tanpa kedua-duanya, kuasa sebesar mana pun akan kehilangan haluan”,
katanya ketika berucap merasmikan Sidang Kemuncak Pemimpin Muda Antarabangsa Masa Hadapan (iFUTURE 2025) di sini, hari ini.
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid menegaskan, generasi muda hari ini bukan sekadar pewaris masa depan, tetapi pemegang amanah untuk membentuk dunia yang lebih berilmu, beretika dan berperikemanusiaan.