LABUAN, 29 Oktober- Kepelbagaian makanan menjadi pemangkin kepada perpaduan dan mencerminkan kehidupan masyarakat yang terdiri daripada pelbagai etnik, khususnya di kepulauan Borneo ini.
Oleh itu, Pertubuhan Inspirasi Wanita Labuan (LaNiTa) mengambil usaha mempertabatkan makanan tradisional dengan penganjuran Festival Makanan Tradisional Borneo 2022 yang berlangsung di Labuan.
(Pengerusi Pertubuhan Inspirasi Wanita Labuan (LaNiTa), Maureen Tidal)
Pengerusinya, Maureen Tidal berkata, penganjuran program sedemikian memperlihatkan budaya makanan tradisional membabitkan tujuh etnik di Borneo, meliputi Labuan, Sabah, Sarawak dan Negara Brunei Darussalam.
Ini bagi memastikan kepelbagaian makanan yang di pamerkan tidak akan dilupakan dan memberi peluang kepada golongan masa kini untuk mengenalinya.
"Sambutan daripada etnik di borneo ini sangat baik, sebab mereka rasa mereka dihimpunkan di satu tempat di Wilayah Persekutuan Labuan ini untuk mengetengahkan budaya. Selain daripada muzik, makanan dan juga seni, apa yang penting adalah makanan, ini kerana makanan ia berkaitan, sebab makanan kita boleh berkongsi resipi, budaya dan disitu kita dikumpulkan bersama-sama yang kita akan kekalkan untuk generasi akan datang," katanya kepada pemberita, selepas majlis perasmian festival itu yang berlangsung di Dewan Konvensyen Ujana Kewangan.
Dalam pada itu, penganjuran festival itu mendapat kerjasama daripada Kementerian Pelancongan, Budaya dan Seni Malaysia (MOTAC).
Selain itu, beliau turut memaklumkan penganjuran program tersebut membantu mempromosikan kebudayaan masyarakat setempat, serta mengeratkan silaturahim dan semangat kerjasama antara pelbagai kaum.
Di samping itu, ia juga membantu kepada usahawan-usahawan mempromosikan produk dan masakan tradisi tempatan dan dijadikan sebagai perusahaan komersial.