KUALA TERENGGANU, 29 Oktober - Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) di Terengganu antaranya memfokuskan pembudayaan amalan hidup sihat dan mencapai kesejahteraan kesihatan secara holistik.
Program anjuran Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) itu turut mendapat kerjasama 20 agensi kerajaan dan swasta yang menjelajah ke seluruh negeri bagi menerapkan minda sihat kepada komuniti setempat.
Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Kasemani Embong berkata berbasikal, berjalan atau bergotong royong antara aktiviti yang boleh dilakukan untuk menerapkan budaya sihat dalam kalangan penduduk setempat.
ANMS meletakkan peningkatan taraf kesihatan rakyat melalui pemakanan yang sihat dan selamat, tidak merokok serta kebersihan diri dan bagi mengurangkan beban penyakit tidak berjangkit, menjadikan kesihatan sebagai satu keutamaan.
(Dr Kasemani Embong ketika ditemui pemberita RTM)
"Beban penyakit tidak berjangkit di Malaysia sekarang ini amat membimbangkan termasuk di Terengganu, tetapi dengan amalan hidup sihat kita tidak menjadi sebagai satu penyakit, kita mahu elakkan, kita hendak kurangkan penyakit diabetis, darah tinggi dan obesiti dalam kalangan rakyat negeri Terengganu," kata Dr Kasemani di sini.
Terdahulu beliau merasmikan Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat Peringkat Daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus 2022 di Syahbandar, di sini.
Rata-rata pengunjung yang ditemui sangat mengalu-alukan program seumpama ini kerana banyak memberi pendedahan tentang kesihatan diri.
"Semua rakyat terutama remaja patut tahu kesihatan mereka dan masyarakat sekeliling mereka. Jadi program ini sangat membantu mereka untuk mengenali beberapa jenis penyakit yang terdapat di Malaysia ini," kata pengunjung, Darvin A/L Naidu.
"Saya lihat prohram ini sangat baik, memuaskan, patut dianjurkan pada masa akan datang," kata Azizah Yusof.
Selain pameran kesihatan turut diadakan pelbagai aktiviti sukan seperti lompat tali, cabaran tali kecergasan dan futsal.