TANJONG KARANG, 29 Oktober- Seramai 19 usahawan dan koperasi menerima pembiayaan sejumlah RM6.584 juta dari Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).
Menurut Menterinya Tan Sri Noh Omar, KUSKOP dan agensinya sentiasa peka, dan prihatin dalam memastikan usahawan dan koperasi terus berdaya tahan, berdaya maju dan bangkit dalam menghadapi setiap cabaran.
(Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Tan Sri Noh Omar)
Pembiayaan tersebut disalurkan melalui Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), TEKUN Nasional, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Bank Rakyat dan SME Corp. Malaysia.
Pada Majlis Perasmian Karnival Usahawan dan Koperasi Keluarga Malaysia (KUKKM) Negeri Selangor yang berlangsung selama dua hari bermula semalam, beliau turut menyerahkan sumbangan zakat SME Bank berjumlah RM112,000 kepada 109 orang usahawan asnaf Tanjong Karang sebagai suntikan modal perniagaan.
Turut disampaikan dalam majlis yang sama Geran Bantuan Bencana di bawah TEKUN Nasional berjumlah RM237,000 kepada 79 usahawan Tanjong Karang yang terjejas akibat bencana banjir.