fb fb fb fb fb

Kepelbagaian kaum di Malaysia harus dijadikan kekuatan kukuhkan perpaduan - PM

Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Makan Malam Gawai Dayak di Kuching / Foto FB Anwar Ibrahim

KUCHING, 23 Jun - Kepelbagaian kaum di negara ini harus dijadikan sebagai satu kekuatan untuk mengukuhkan perpaduan negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu tidak harus dijadikan medan perseteruan atau menunjukkan kehebatan serta ego masing-masing.

Menurut Datuk Seri Anwar, bagi kebanyakan negara lain, kepelbagaian tersebut menyebabkan berlakunya permusuhan kaum dan agama sehingga membebankan negara dan meninggalkan kesan kepada rakyat.

Katanya, beliau bangga menampilkan kepelbagaian budaya dan kaum yang ada di negara ini khususnya ketika Malaysia memegang kepengerusian ASEAN tahun ini.

"Kita mesti bekerjasama untuk memelihara keamanan dan keselamatan negara. Jangan sesekali memandang ringan, masalah yang akan timbul akibat perpecahan.

"Dalam suasana geopolitik yang mencabar dan tidak menentu ini, masa depan penuh dengan ketidakpastian. Namun, satu perkara yang boleh kita pastikan Malaysia kukuh bersatu." katanya dalam Majlis Makan Malam Gawai Dayak pada Ahad di sini.

Sementara itu, majlis malam tadi turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Zahid Hamidi dan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi menjadi tetamu kehormat pada majlis terebut.

SITI AISHA MELISA YUHANIZ