SINTOK, 23 Jun – Tema transformasi media dalam era kecerdasan buatan (AI) dipilih sebagai fokus utama 5th International Conference on Media Studies (ICMS) 2025 bagi melihat bagaimana kemunculan teknologi ini mengubah dan membentuk semula bidang komunikasi, kewartawanan dan penceritaan digital.
Pengarah ICMS, Dr. Noor Aziah Abdullah berkata, ICMS 2025 menemukan ahli akademik, penyelidik, profesional dan mahasiswa tempatan serta antarabangsa, untuk berkongsi pandangan, menggalakkan kerjasama dan berdialog mengenai transformasi media yang pantas berlaku pada hari ini.
“ICMS 2025 ini dianjurkan oleh Program Teknologi Media Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC), Universiti Utara Malaysia (UUM) bersama dua universiti terkemuka di Indonesia iaitu Universitas Brawijaya dan Universitas Islam Negeri Mataram. Tema “Media Transformation in the Intelligence Era: The Human-Machine Centred Approach” dipilih bagi peserta mengupas dari pelbagai aspek proses transformasi media yang didorong oleh kemunculan teknologi digital.
"ICMS edisi ke-5 ini turut menjemput rakan strategik dari Vietnam, Uzbekistan, Kazakhstan dan Filipina bagi memperkaya dialog dan penyelidikan media di peringkat antarabangsa,”menurut Dr. Noor Aziah.
Penganjuran ICMS 2025 antara lain bermatlamat menjadi platform perbincangan mengenai isu, cabaran dan potensi media dan komunikasi untuk mengukuhkan kesejahteraan, etika dan kebertanggungjawaban.
Seterusnya, sidang antarabangsa itu juga bertujuan menggalakkan perkongsian idea dan pengalaman dalam kalangan ahli akademik dan profesional berkaitan media, komunikasi dan isu berkaitan lain.
Selain itu, ICMS turut membawa pemegang taruh, penyelidik, ahli sarjana dan pelajar untuk sama-sama mencari jalan bagi meningkatkan lagi keterlibatan manusia dalam media dan komunikasi supaya teknologi digital digunakan dengan selamat dan beretika.
Penganjuran ICMS 2025 turut menarik rakan strategik seperti Universitas Muhammadiyah Cirebon diharap menjadi platform kepada peserta mewujudkan rangkaian global terdiri daripada sektor akademik dan professional media selain menggalakkan promosi terhadap teknologi media dan universiti.
Kertas kerja dan penyelidikan terpilih akan diterbit dalam jurnal antarabangsa dan tempatan untuk menjadi rujukan kepada semua pihak.
Menurut Dr. Noor Aziah lagi, era AI antara lain merujuk kepada fasa integrasi AI, pembelajaran mesin, automasi dan teknologi berasaskan data ke dalam semua sektor termasuk industri media.
“Dalam konteks ini, transformasi media melangkaui proses pendigitalan semata-mata tetapi ia turut mewakili penstrukturan semula yang mendalam terhadap carta alir kerja, penciptaan kandungan, pengedaran kandungan dan pengukuran keterlibatan penonton media melalui satu sistem yang pintar.
"Transformasi media bukan hanya proses peralihan teknologi tetapi dilihat sebagai revolusi sosiobudaya. Pendekatan berpaksi manusia-mesin dapat membantu memastikan mesin-mesin menjadi semakin pintar tetapi media menjadi lebih tebal dengan nilai kemanusiaan yang dipandu oleh etika, keterangkuman, ketelusan dan memberi manfaat besar kepada masyarakat,” katanya.
Persidangan ini akan berlangsung pada 13-14 Oktober depan menggunakan kaedah persidangan hibrid dan turut merangkumi subtema seperti budaya, pengiklanan, penjenamaan, komunikasi pemasaran, penceritaan multimedia dan digital serta isu keselamatan siber dan lain-lain lagi.