PUTRAJAYA, 13 Julai- Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Ahmad Farhan Fauzi membuat laporan polis terhadap tiga individu kerana mengeluarkan dan menyebar beberapa kenyataan palsu bersifat memfitnah terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Individu berkenaan adalah aktivis politik Badrul Hisham Shaharin atau dikenali sebagai Che'gu Bard, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan dan Raggie Jessy Rithaudeen.
"Bukti-bukti konklusif dan menyangkal sekeras-kerasnya kenyataan palsu tersebut akan dikemukakan oleh pihak polis semasa siasatan kelak," kata Ahmad Farhan kepada pemberita selepas membuat laporan polis itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya.
(Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Ahmad Farhan Fauzi)
Beliau turut ditemani peguam Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk S.Sankara Narayanan Nair.
Sementara itu, Sankara Narayanan Nair berkata pihaknya mempunyai bukti dan dokumen berkaitan perjanjian pajakan kediaman Anwar di Sungai Long, Kajang namun ia tidak boleh didedahkan kepada umum.
“Hartanah yang didiaminya adalah termaktub dalam perjanjian pajakan olehnya selama 10 tahun, ditandatangani pada tahun 2020, lama sebelum beliau menjadi Perdana Menteri.
Pajakan itu dibayar dengan sewajarnya, tiada pertikaian mengenai siapa yang memiliknya," katanya.