fb fb fb fb fb

Kenduri Sekampung: Sipitang berpotensi jadi destinasi pelancongan

Espaland Sipitang, Sabah yang menjadi tarikan pengunjung setiap kali ke salah sebuah daerah di Sabah

KOTA KINABALU, 26 Ogos - Daerah Sipitang khususnya kawasan Sindumin, dilihat mempunyai potensi besar untuk menjadi destinasi pelancongan berkonsepkan "Kenduri Sekampung."

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Dr. Yusof Yacob, berkata kedudukannya yang strategik berhampiran Brunei Darussalam dan Sarawak menjadikannya lokasi yang ideal untuk menghimpunkan pelbagai budaya dan tradisi masyarakat majmuk.

Katanya, kepelbagaian budaya di daerah tersebut mampu merancakkan lagi sektor pelancongan.

"Saya minta persatuan-persatuan berteraskan suku kaum seperti Persatuan Kedayan Sabah, Persatuan Kebudayaan Lundayu, Murut, Brunei supaya mengadakan pesta seperti ini yang berteraskan kebudayaan dan juga tradisi-tradisi tertentu dari segi misalnya masakan dan makanan," katanya kepada RTM selepas merasmikan Majlis Tautan Kasih Matrik UKM dan Ramah Mesra Rakyat Setempat di Kampung Pelakat Skim, Sipitang baru-baru ini.

Program tersebut turut menyaksikan penyertaan 22 ahli Alumni Matrik UKM, yang bekerjasama dengan JKKK Kampung Pelakat Skim dan Persatuan Kedayan Sabah (PAADIAN).

Khalil Awang, seorang ahli Alumni Matrik UKM, penglibatan masyarakat setempat dalam program seumpama itu amatlah penting termasuk aktiviti gotong-royong.

Pengerusi JKKK Kampung Pelakat Skim, Osman Arshad, turut berkongsi usaha masyarakat Kedayan untuk memperkenalkan masakan tradisional mereka.

"Masyarakat kami Kedayan di sini memperkenalkan masakan-masakan kaum Kedayan, khususnya kuih-kuih jelurut juga punjang. Masakan lama seperti masak ayam kunyit dan kelupis juga merupakan makanan tradisional kami," kata Osman Arshad.

Dalam majlis yang sama, Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah, menyatakan bahawa potensi pelancongan di Sipitang perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh masyarakat setempat.

Beliau menekankan bahawa Sipitang sudah sinonim dengan hidangan seperti sate Sipitang dan pesta buah-buahan, yang boleh dijadikan tarikan pelancongan.

GRACE AISYAH KEDAYAN