fb fb fb fb fb

Dapatkan laporan JAS dan PlanMalaysia sebelum lulus projek

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad

IPOH, 27 Ogos - Pihak berkuasa negeri khususnya pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu mendapatkan laporan daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PlanMalaysia) sebelum meluluskan sesuatu projek pembangunan di kawasan masing-masing.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, laporan berkenaan dibuat bukan menyekat pembangunan mana-mana kerajaan negeri malah bagi mengelakkan tragedi yang tidak diingini berlaku seperti banjir lumpur, tanah runtuh dan kepala air.

"Sebab pembangunan itu perlu terkawal, perlu ikut had-hadnya, kita tahu ada had dan kita lihat ada beberapa insiden terbaharu. Kita juga mungkin lihat untuk 20 dan 30 tahun lalu, tidak ada masalah. Tetapi sekarang corak cuaca berbeza, jadi kita minta supaya pembangunan ini kita agak konservatif sedikit dan untuk memastikan keselamatan rakyat dan juga kepentingan alam sekitar itu menjadi keutamaan," kata Nik Nazmi.

Beliau bercakap kepada pemberita pada sidang media berhubung aduan pencemaran bau dan udara di kawasan Simpang Pulai, di sini.

Nik Nazmi diminta mengulas mengenai beberapa siri kejadian banjir dan kepala air yang berlaku di seluruh negara, termasuk terbaharu di Slim Village, Slim River, Tanjung Malim pada Jumaat lalu.

Kejadian berkenaan menyebabkan lebih 100 mangsa terperangkap termasuk mengakibatkan tiga jambatan runtuh dan terputus laluan, serta jambatan utama sepanjang 77 meter.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dan mematuhi nasihat serta panduan yang dikeluarkan sekiranya ingin pergi berkelah atau berkemah di kawasan berisiko.

TETITIA YUSOFF