fb fb fb fb fb

KSN rencana kerangka reformasi perkhidmatan awam

Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar

PUTRAJAYA, 27 Ogos- Ketua Setiausaha Negara (KSN) Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar sedang merencana kerangka reformasi perkhidmatan awam.

Perkara itu bagi menambah baik mutu perkhidmatan kepada rakyat seiring pengumuman kenaikan gaji penjawat awam yang diumumkan baru baru ini.

Menurut Shamsul Azri, hasilnya akan dibentangkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam tempoh 100 hari perkhidmatannya sebagai KSN sejak dilantik pada 7 Ogos lalu.

"...Kita akan kaji dari segi beberapa misi luar negara yang mungkin kita boleh buat rasionalisasi mungkin kita boleh perkecilkan. Kemudian akan kaji semula undang-undang dan peraturan lapuk 20 tahun yang tidak pernah kita semak.

"...dan kita juga akan melihat kepada penjimatan sebab dalam perbelanjaan. Adakalanya berlaku pembaziran dan seterusnya kita akan buat pusingan kerja kepada kakitangan awam yg dah melebihi tujuh tahun dan ke atas di setiap kementerian dan jabatan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Sijil Pelantikan Pegawai Kenegaraan Kementerian dan Jabatan Utama di sini.

Majlis berkenaan turut dihadiri Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Azizi dan Ketua Pengarah Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) Datuk Mohd Haswandi Ahmad.

"Setakat ini semua ketua jabatan, ketua setiausaha menyokong ke arah kita membuat reformasi kerana apabila kerajaan bersetuju dengan kajian kenaikan gaji, maka kita sebagai penjawat awam perlulah memberi balik kepada rakyat supaya kita releven kepada rakyat," katanya lagi.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI