fb fb fb fb fb

251 tan kayu berkulat diarah dihantar semula ke Latvia

FOTO FAIL

BUTTERWORTH, 27 Ogos - Dagangan kayu seberat 251 tan metrik bernilai RM203,726 yang berasal dari Latvia diarah berpatah balik ke negara asal, hari ini.

Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Pulau Pinang berkata, kesemua kayu itu ditahan dan tidak dibenarkan masuk ke dalam negara selepas pemeriksaan rutin yang dilakukan pihaknya menemukan kulat Trichoderma sp.

"Pemeriksaan pihak MAQIS menemukan kulat Trichoderma sp pada kayu jenis White Birch Logs (Betula Pendula) di dalam 10 kontena yang ingin dibawa masuk ke negara ini sebelum kesemua 251 tan metrik kayu itu diarah berpatah balik ke negara asal.

"Kawalan terhadap perosak dan penyakit seperti kulat kayu adalah penting bagi memastikan industri pertanian negara terpelihara terutamanya melibatkan tanaman ladang dan lain-lain," menurut kenyataan MAQIS Pulau Pinang.

Perbuatan mengimport sebarang jenis keluaran pertanian, tumbuhan, binatang, karkas, ikan, tanih dan mikroorganisma yang mempunyai perosak adalah kesalahan bawah Seksyen 14 Akta Perkhidmatan dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).

TETITIA YUSOFF