fb fb fb fb fb

Kenal pasti tahap kesihatan mental melalui portal MENTARI

SEREMBAN, 27 September - Kementerian Kesihatan (KKM) menyediakan kemudahan saringan kendiri kepada orang ramai untuk mengenal pasti dan menilai tahap kesihatan mental mereka menerusi portal Pusat Kesihatan Mental Masyarakat (Mentari).

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) Datuk Doktor Asmayani Khalib berkata sistem itu turut membolehkan masyarakat mendapatkan rawatan tanpa surat rujukan serta mendapatkan janji temu secara dalam talian.

Melalui portal www.mentari.moh.gov.my itu, orang ramai boleh menguji sejauh mana tahap tekanan yang dihadapi mereka yang boleh menjurus kepada penyakit mental.

"Modul ini adalah merupakan suatu registry bag memantau kes-kes self-harm yang dikendalikan oleh perkhidmatan psikiatri.

"Mengambil inisiatif daripada proses dekriminalisasi cubaan bunuh diri yang telah dimulakan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, cabaran ini disahut oleh perkhidmatan psikiatri demi memastikan setiap pesakit cubaan membunuh diri dipantau dan dirawat sebaiknya," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Sistem IT Mentari (MITS) 2.0 dan Garis Panduan Program Sokongan Pekerjaan di sini hari ini.

mentari(Majlis Pelancaran Sistem IT Mentari (MITS) 2.0 dan Garis Panduan Program Sokongan Pekerjaan/FOTO KKM)

Sementara itu, Ketua Perkhidmatan Psikiatri Kebangsaan, Dr. Nor Hayati Ali berkata, memaklumkan, sistem itu menyediakan senarai tempat untuk pesakit menerima rawatan di pusat yang berdekatan.

"Kita mempunyai Pusat Mentari di 33 tempat seluruh negara... boleh tengok kawasan mana paling terdekat untuk dapatkan rawatan.

"Kami cadangkan buat ujian terlebih dahulu, sekiranya keputusan berada di bawah paras yang telah ditetapkan maka boleh buat permohonan untuk janji temu," katanya.

KKM juga bercadang menambah bilangan pusat Mentari kepada 40 buah menjelang 2025.

Berdasarkan kepada ruangan Sekilas Fakta dalam buku aturcara program tersebut, portal Mentari telah menerima kunjungan seramai 7,131 orang pada bulan Jun lalu, 9,870 orang (Julai) dan 9,336 orang (Ogos).

Laman (page) yang popular di portal itu ialah permohonan untuk janji temu dengan 383 orang pada Jun, 440 (Julai) dan 549 (Ogos).

Daripada 43,754 orang yang melakukan ujian kendiri melalui portal itu sejak bulan Februari lalu, seramai 3,060 orang atau tujuh peratus daripada jumlah itu telah memohon janji temu.

Majlis pelancaran itu telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Datuk Dr. Asmayani Khalib.

Media Baharu