fb fb fb fb fb

Kenaikan yuran tadika swasta tidak boleh melebihi 30 peratus – Fadhlina

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek

KUALA LUMPUR, 26 Ogos - Sebarang permohonan kenaikan yuran yang dikemukakan pengusaha tadika swasta tidak boleh melebihi 30 peratus daripada yuran sedia ada.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata permohonan itu juga hanya boleh dibuat selepas tamat tempoh tiga tahun dan akan diteliti dengan mengambil kira kepentingan semua pihak.

“Sebarang permohonan kenaikan yuran yang dikemukakan oleh pengusaha tadika swasta akan disemak dan dipertimbangkan sewajarnya dengan mengambil kira kepentingan pengusaha serta ibu bapa.

"Sebagai langkah kawalan, permohonan hanya boleh dikemukakan selepas tempoh tiga tahun dan tidak melebihi 30 peratus daripada yuran sedia ada,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara, hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Nelson W Angang yang meminta penjelasan berhubung kawalan terhadap yuran tadika swasta bagi memastikan keluarga berpendapatan rendah tidak terbeban.

Fadhlina berkata, sebagai menyokong usaha penyediaan pendidikan prasekolah oleh pengusaha tadika swasta kepada keluarga B40, Kementerian Pendidikan (KPM) turut menyediakan bantuan yuran murid.

“Bagi tahun 2025, setiap murid yang layak menerima bantuan berjumlah RM1,175.40 untuk tempoh pembelajaran setahun, memberi manfaat kepada lebih 1,100 murid di seluruh negara,” katanya.

GRACE AISYAH KEDAYAN