GEORGE TOWN, 26 Ogos - Kemasukan pelancong ke Pulau Pinang mencatatkan peningkatan 13.3 peratus tahun lalu dengan jumlah 8.2 juta penghuni hotel berbanding 7.2 juta pada 2023.
Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Wong Hon Wai, berkata angka itu menunjukkan peningkatan sebanyak 29 peratus berbanding tempoh pra-pandemik 2017 yang merekodkan 6.3 juta penghuni hotel.
“Kita sentiasa bersedia kerana selepas COVID-19, data menunjukkan peningkatan ketara. Pada tahun 2024, jumlah penghuni hotel telah melepasi angka tahun 2017 yang merupakan tempoh sebelum pandemik. Ini membuktikan industri pelancongan negeri kembali pulih dan semakin berkembang,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Linguistik, Kesusasteraan dan Budaya ke-13 di sini.
Beliau berkata, antara faktor yang menyumbang kepada peningkatan kemasukan pelancong ialah kewujudan penerbangan terus dari 14 bandar raya utama dunia ke negeri itu.
Ini termasuk dari China, Indonesia, Vietnam, Filipina dan beberapa negara lain di rantau Asia.