fb fb fb fb fb

61,431 aduan awam direkodkan melalui SISPAA sejak 2018

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa

KUALA LUMPUR, 26 Ogos – Sebanyak 61,431 aduan awam telah direkodkan melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) dari tahun 2018 hingga 30 Jun 2025.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa berkata, angka itu menunjukkan trend peningkatan dari tahun ke tahun.

Menurut beliau, aduan yang sering diterima merangkumi pelbagai isu utama seperti penguatkuasaan, kemudahan dan infrastruktur awam, ekspektasi pelanggan, serta kualiti penyampaian perkhidmatan awam.

"Dalam hal ini, Kerajaan Persekutuan melalui Pekeliling Am Bilangan 2 Tahun 2022 bertajuk ‘Penambahbaikan Pengurusan Aduan Awam’ telah menggalakkan semua kementerian dan agensi kerajaan agar menggunakan SISPAA sebagai platform utama bagi rakyat menyalurkan aduan berkaitan perkhidmatan awam.

"Dengan penggunaan SISPAA, maklumbalas terhadap aduan dapat direkodkan, dipantau dan diuruskan secara lebih efektif, sistematik dan telus oleh Bahagian Pengurusan Aduan (BPA) serta kementerian atau agensi yang bertanggungjawab," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab kepada soalan Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi.

Menurut Dr. Zaliha, tiga kementerian mencatatkan jumlah aduan tertinggi iaitu Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Kerja Raya (KKR), dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Katanya, ini susulan kementerian berkenaan menaungi pelbagai agensi tumpuan rakyat dalam penyampaian perkhidmatan awam.

GRACE AISYAH KEDAYAN