PUTRAJAYA, 26 Ogos - Kementerian Pengangkutan mengarahkan Airports Holdings Bhd (MAHB) memastikan perkhidmatan aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berjalan lancar.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata, secara umumnya perkhidmatan beroperasi dengan baik, namun gangguan teknikal yang berlaku memberi impak kepada pengguna.
"Dalam tempoh kurang dua bulan selepas dilancarkan semula, perkhidmatan ini telah merekodkan hampir dua juta penumpang, berikutan pergerakan antara terminal utama dan terminal satelit yang sangat padat dengan puluhan ribu pengguna setiap hari," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena ulang tahun ke-33 Perbadanan Aset Keretapi dan Perhimpunan Bulanan Kementerian Pengangkutan di sini.
Anthony Loke juga mendesak MAHB untuk memantau operasi harian dengan teliti dan memastikan penyelenggaraan yang konsisten supaya tidak menjejaskan pergerakan pengguna perkhidmatan itu
Untuk rekod Perkhidmatan kereta api tanpa pemandu yang dinaik taraf disambung semula pada 1 Julai selepas selepas kerja-kerja penambahbaikan bernilai RM456 juta selesai dilaksanakan.
Ia merupakan sebahagian daripada inisiatif transformasi MAHB bernilai RM742 juta untuk mengukuhkan kedudukan KLIA sebagai hab penerbangan serantau bertaraf dunia.