fb fb fb fb fb

Kenaikan harga ubat, KKM sedia kerjasama dengan MOSTI

(Foto hiasan)

SEREMBAN, 8 Julai- Kementerian Kesihatan (KKM) bersedia untuk menjalinkan kerjasama dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bagi penghasilan teknologi dan inovasi dalam usaha berhadapan dengan kenaikan harga ubat-ubatan dalam pasaran negara.

Menterinya, Dr Zaliha Mustafa berkata, usaha tersebut juga mampu mengurangkan kebergantungan negara terhadap ubat-ubatan import.

KKM juga masih menunggu laporan daripada pihak farmasi berhubung kenaikan harga ubat-ubatan tersebut.

"Kita masih menunggu laporan daripada farmasi. Setakat ini, kita tiada apa-apa jawapan lagi tentang perkara itu," katanya pada sidang media sempena Majlis Pelancaran SeDia COHORT di sini.

Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir berkenan berangkat merasmikan majlis berkenaan.

Turut berkenan berangkat, Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz yang juga merupakan Pengerusi Universiti Perubatan Antarabangsa  (IMU) Health Sendirian Berhad.

Projek penyelidikan bertajuk Kohort Diabetes Seremban (SeDia) yang akan dijalankan oleh penyelidik Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU) merupakan pengumpulan data jangka panjang untuk memahami interaksi kompleks antara gaya hidup, persekitaran, genetik dan pembangunan sosio-ekonomi bagi membangunkan strategi pencegahan dan perawatan pesakit diabetes Jenis 2 melalui pendekatan individu dan masyarakat yang lebih efektif.

(Dr Zaliha Mustafa)

Media Baharu