PUTRAJAYA, 9 Jun - Kerajaan bersetuju memberi kemudahan Tambang Mengunjungi Wilayah Asal kepada pegawai perubatan, pergigian dan farmasi lantikan kontrak yang sedang menjalani khidmat wajib, menurut Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.
Mesyuarat Kabinet hari ini juga bersetuju untuk memanjangkan kemudahan Cuti Tugas Khas Perubatan serta Cuti Tibi, Kusta dan Barah kepada pegawai kontrak yang sedang menjalani latihan siswazah.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata mesyuarat Kabinet pada 14 Julai tahun lalu bersetuju memberi semua kemudahan tersebut hanya kepada pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi lantikan kontrak yang telah diluluskan pelanjutan kontrak setelah melengkapkan khidmat wajib.
(Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin/Fail BERNAMA)
“Selaras dengan usaha berterusan dan komitmen untuk menambah baik situasi kebajikan pegawai lantikan kontrak, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam mesyuarat Kabinet hari ini membentangkan satu lagi memorandum untuk pertimbangan Jemaah Menteri, agar pemberian kemudahan-kemudahan sedia ada ditambah baik,” katanya dalam kenyataan di sini.
Menurut Khairy keputusan pemanjangan kemudahan Cuti Tugas Khas Perubatan serta Cuti Tibi, Kusta dan Barah, diharap dapat menangani isu ketidaksetaraan pemberian kemudahan antara pegawai lantikan kontrak yang sedang menjalani latihan siswazah dan/atau khidmat wajib dengan pegawai lantikan kontrak yang telah melengkapkan khidmat wajib.
“Selain itu, pegawai perubatan, pergigian dan farmasi lantikan kontrak yang sedang menjalani khidmat wajib juga akan dapat menikmati kemudahan Tambang Mengunjungi Wilayah Asal sebagaimana dinikmati pegawai lantikan kontrak yang telah melengkapkan khidmat wajib,” katanya.