KUALA LUMPUR, 1 Mac- Bilangan kemasukan pesakit kanak-kanak di Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani, Hospital Pakar Kanak-Kanak UKM (HPKK) tidak menunjukkan peningkatan mendadak.
Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia, (UKM) Profesor Datuk Dr. Mohd Ekhwan Toriman berkata, buat masa ini kemudahan katil dan katil wad kecemasan mencukupi untuk menampung keperluan rawatan semasa.
"Trend kalangan pesakit COVID sekarang ini menurun dalam kalangan kanak-kanak. Kami dapati tidak lah terlalu tinggi dan dari segi keperluan katil, juga katil di wad kecemasan tidak mengalami peningkatan yang besar dan kita yakin bilangan ini mula menurun seperti yang ditaklimatkan oleh Tan Sri DG (Ketua Pengarah Kesihatan), katanya.
Mohd Ekhwan menyatakan demikian selepas Majlis Pemasyhuran Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani sebagai Hospital Pakar Kanak-Kanak Universiti Kebangsaan Malaysia (HPKK).
(Prof. Datuk Dr. Mohd Ekhwan Toriman ditemu bual RTM pada Majlis Pemasyhuran Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani)
Pada Jun tahun lalu, HPKK pernah dijadikan sebagai hospital COVID-19 bagi menampung keperluan katil untuk rawatan pesakit sekitar Lembah Kelang ketika gelombang ke-2 pandemik menular.
HPKK juga antara hospital paling aktif dan telah berjaya merawat 842 orang pesakit.
Namun, pada 15 Oktober 2021, HPKK telah dikembalikan semula untuk memulakan perkhidmatan kepada kanak-kanak sepenuhnya.
Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani di masyhurkan sebagai Hospital Pakar Kanak-Kanak UKM (HPKK) sebagai pengiktirafan serta penghormatan atas naungan Canselor UKM - Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus.