fb fb fb fb fb

Warga emas hilang, ditemui mati dalam parit pagi tadi

KEMAMAN,1 Mac - Kehilangan seorang lelaki warga emas terjawab selepas mayatnya ditemui mati dalam keadaan terapung dalam sebuah parit pagi tadi.

Kejadian berlaku di Kampung Pasir Gajah Kemaman, Terengganu berhampiran Balai Polis Pasir Gajah kira-kira pukul 10 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan berkata mayat Rahim Deraman, 69 tahun ditemui oleh orang awam yang kebetulan melalui jalan berhampiran kawasan berkenaan.

Kehilangan mangsa disedari anak-anaknya sejak petang semalam yang kemudiannya membuat laporan di balai polis kampung berkenaan.

"Operasi mencari mangsa telah dilakukan sejak semalam dan ketika kejadian sekitar kawasan kampung berkenaan turut dinaiki air ekoran limpahan sungai berdekatan," kata Hanyan kepada pemberita RTM.

Superintenden Hanyan berkata mangsa yang mempunyai lima orang anak itu dipercayai mengalami kemurungan selepas kematian isterinya beberapa tahun lalu.

"Mangsa sebelum ini dikatakan suka merayau-rayau di sekitar kawasan kampung dan telah dipercayai terjatuh ke dalam sebuah longkang yang dipenuhi air akibat banjir sebelum dipercayai lemas," tambahnya.

Ketika ditemukan oleh orang awam keadaan air banjir di sekitar kampung berkenaan mulai surut.

(Banjir di kawasan Kampung Pasir Gajah Kemaman, Terengganu mulai surut)

Mayat mangsa kemudiannya telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Kemaman (HK) untuk tindakan dan siasatan lanjut.

Siasatan awal polis mendapati tiada sebarang unsur jenayah berlaku.

 

Media Baharu